My Add

Monday 23 July 2012

Tunggu geran tanah 43 tahun

*A. Ponnampalam (dua kiri) dan seorang penduduk G.K Balan (kiri sekali) menunjukkan surat balas daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung isu geran tanah ketika berhimpun di Dewan Orang Ramai Jinjang Selatan, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh NORHIDAYU 
MOHD. HASSAN
KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Julai, 2012: Seramai 508 keluarga Perumahan Jinjang Selatan Tambahan di sini merayu kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut tuntutan geran tanah kawasan itu yang sudah berlarutan 43 tahun.

Mereka terdiri daripada penduduk yang menetap di situ sejak kawasan itu diwujudkan oleh kerajaan pada 1969 sebagai perumahan tersusun yang berkeluasan kira-kira 115 hektar.

Penasihat Persatuan Pembangunan Sosial Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, A. Ponnampalam berkata, pihaknya telah mengajukan permasalahan tersebut kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, namun maklum balas diterima amat mengecewakan.

Katanya, sudah 43 tahun mereka menetap di situ, namun masih tidak mendapat geran tanah kekal, malah hak untuk membayar cukai tanah dan pintu juga dinafikan oleh pihak tertentu.

"Setiap permohonan yang dihantar pula telah ditolak tanpa sebab dan alasan termasuk hasrat untuk membincangkan masalah geran tanah dengan pihak tertentu juga selalu ditangguhkan.

"Adakah ini yang dimaksudkan rakyat didahulukan? Justeru, kami amat berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat membantu selesaikan permasalahan ini," katanya pada sidang akhbar berhubung perkara tersebut di dewan perumahan berkenaan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sudah hilang kepercayaan dan tidak lagi mahu membincangkan dengan pihak-pihak yang sentiasa berdolak-dalik dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Kata Ponnapalam, hanya Perdana Menteri mampu menyelesaikan masalah-masalah itu kerana pihak tertentu yang sewajarnya berbuat demikian tidak telus membantu walaupun permohonan sudah dibuat berulang kali.

"Penduduk sangat berharap Perdana Menteri dapat turun padang dan melihat sendiri keadaan penduduk di sini, sekali gus menyelesaikan kemelut yang berpanjangan ini.

"Kawasan penempatan ini dahulunya bekas lombong, namun diusahakan setelah diberikan kerajaan dengan status status menduduki sementara (TOL), jadi adalah wajar kerajaan terus membantu rakyat khususnya penduduk di sini yang majoritinya berpendapatan rendah," katanya lagi.

Tambahnya, penduduk akan mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada 23 Ogos ini sekiranya rayuan menyelesaikan permasalahan itu masih tidak diendahkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment