My Add

Saturday 7 July 2012

Usah taksub kepada pemimpin: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Julai, 2012: Ketaksuban kepada kepimpinan lebih daripada ajaran Islam yang terdapat dalam al-Quran boleh menjurus kepada perpecahan dan kelemahan umat Islam, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dengan menjadikan situasi di Kelantan sebagai contoh, Dr Mahathir berkata beliau diberitahu tidak ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu kerana penduduk Kelantan begitu taksub dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 Dalam entri terbaru bertajuk "Asabiah" yang disiar dalam blognya, beliau berkata demikianlah ketaksuban ini sehingga apa sahaja yang didakwa oleh Nik Aziz berkenaan agama Islam, maka orang Kelantan akan menerimanya bulat-bulat sebagai benar dan menepati ajaran Islam. 

"Orang Islam yang berfikiran waras tentu menolak dakwaan Nik Aziz bahawa mengundi PAS akan mendapat pahala, bahkan menjamin syurga di akhirat. Tetapi nampaknya majoriti rakyat Kelantan, sama ada mereka terima dakwaan ini atau tidak, terus setia dan menyokong kepimpinan Nik Aziz. 

"Kemenangan PAS di Kelantan dan di tempat-tempat lain membuktikan kepimpinan Nik Aziz tidak terjejas walaupun jelas menyalahguna agama untuk politik duniawi," katanya. 

Dr Mahathir berkata, ada orang yang berpandangan tidak ada gunanya ulama lain atau mufti menolak dan menidakkan dakwaan Nik Aziz kerana orang Kelantan tetap akan percaya pendapatnya juga. 

"Jika ada yang ragu sekalipun, mereka tidak akan menyatakan keraguan mereka," katanya. 

Beliau menarik perhatian bahawa dahulu, kerjasama membabitkan UMNO dengan orang bukan Islam didakwa bertentangan dengan ajaran Islam. 

Tetapi sekarang, katanya, PAS di bawah kepimpinan Nik Aziz bukan setakat bekerjasama dengan bukan Islam malah sanggup bekerjasama dengan orang yang menolak dengan keras dan secara terbuka hasrat PAS untuk mendirikan Negara Islam dan melaksana hukum hudud. 

"Saya masih ingat semasa kita bangunkan Putrajaya, Nik Aziz mendakwa apabila PAS memerintah negara ini, kerajaan PAS akan lelong Putrajaya. 

"Hari ini lain pula bunyinya. PAS berjuang untuk ke Putrajaya sebagai pemerintah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment