My Add

Sunday 8 July 2012

Usahawan francais perlu fokus

*ORANG ramai mengunjungi pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/ZUBAIDAH YACOB

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Julai, 2012: Usahawan francais perlu sentiasa fokus dan berdisiplin dalam menguruskan perniagaan mereka walaupun kini tidak perlu lagi berhadapan dengan kesukaran untuk memulakan perniagaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap tersebut menjadi syarat utama sekiranya seseorang usahawan termasuk yang terlibat dalam konsep francais mahu terus menjana kekayaan dengan baik dalam perniagaan yang mereka ceburi.

“Walaupun kini amat mudah bagi sesiapa sahaja membuka perniagaan francais, ia masih memerlukan sikap disiplin dan serius dalam menguruskannya. Jika mengikut semua peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan, sudah pasti perniagaan francais kita akan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan seminar dan persidangan sempena pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2012 (FIM 2012) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Abdul Malik Abdullah.

Pameran anjuran MFA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berakhir esok menampilkan lebih 100 jenama francais tempatan dan luar negara di samping menarik kira-kira 12,000 pengunjung.

Dr. Mahathir yang juga Penaung MFA berkata, sekiranya usahawan francais bersikap jujur dan mengikut semua peraturan serta perjanjian yang dibuat semasa mahu menyertainya, maka perniagaan itu sudah pasti akan berjaya.

Katanya, mereka juga tidak wajar mengambil mudah dengan menyerahkan pengurusan perniagaan francais yang disertai kepada pihak lain dengan harapan dapat mengaut keuntungan semata-mata tanpa perlu berusaha keras menjayakan perniagaan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, dunia perniagaan pada hari ini amat mudah untuk diceburi oleh sesiapa sahaja memandangkan modal yang lebih senang diperoleh iaitu melalui pinjaman daripada pelbagai institusi kewangan berbanding pada masa dahulu.

Namun, katanya, sekiranya seorang usahawan membuat pinjaman, mereka seharusnya membayar semula pinjaman itu bagi membolehkan perniagaan diceburi berkembang baik.

“Walaupun perniagaan francais tidak menghadapi risiko besar, setiap usahawannya perlu memastikan mereka membayar semula pinjaman modal yang dibuat supaya tidak berlaku kes francais terpaksa ditutup. Itu yang berlaku kepada seorang rakan saya dahulu," katanya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa bangga apabila semakin ramai rakyat Malaysia yang berminat menyertai dunia francais kerana melihat peluang yang besar menanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment