My Add

Sunday 8 July 2012

Wanita mangsa ragut meninggal dunia

MELAKA, AHAD, 08 Julai, 2012: Seorang kerani wanita yang diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja semalam, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala hari ini. 

Mangsa, Tang Mui Choo, 35, disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Melaka pada 7 pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt R Gunarajan, berkata ketika kejadian kira-kira 8.15 pagi semalam, mangsa yang menaiki motosikal sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kampung Lapan dari rumahnya di Taman Pokok Mangga di sini. 

Beliau berkata, ketika melalui Jalan Benteng, Balai Panjang mangsa didatangi dua lelaki berpakaian serba hitam yang menaiki sebuah motosikal sebelum meragut beg tangan mangsa yang diletak dalam raga motosikal berkenaan. 

"Berikutan itu, berlaku sedikit pergelutan apabila mangsa cuba merampas semula beg tangannya mengakibatkan mangsa terjatuh daripada motosikal," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, abang mangsa, Tang Ah Jit, 41, yang sedih dengan kejadian itu meminta pihak polis menangkap suspek dengan segera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment