My Add

Tuesday 17 July 2012

Waspada amil palsu: MAIS

SHAH ALAM, SELASA, 17 Julai, 2912: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai amil dan menjalankan kegiatan mengutip zakat fitrah secara pintu ke pintu rumah dan pejabat.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata walaupun kes berkenaan dianggap kecil, namun orang ramai perlu lebih prihatin termasuk meminta kad perakuan lantikan amil yang dikeluarkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 2,500 amil dan penolong amil di negeri itu.

Beliau berkata, bayaran zakat fitrah digalakkan dibuat di masjid, surau atau 24 kaunter zakat yang dibuka di seluruh Selangor sepanjang Ramadan termasuk ketika cuti umum. 

"Kita buka di semua cawangan LZS dan beberapa pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah pada Ramadan ini," katanya.

Beliau turut mengumumkan kadar zakat fitrah di Selangor bagi tahun ini ialah RM7.

Mohamad Adzib berkata, sebanyak RM18 juta zakat fitrah dijangka dikutip daripada kira-kira 2.6 juta umat Islam Selangor tahun ini yang bertambah RM1 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak RM17.53 juta wang zakat diperuntukkan untuk diagihkan kepada 22,923 keluarga fakir dan miskin di Selangor sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi kutipan zakat dan agihan bagi enam bulan pertama tahun ini, Mohamad Adzib berkata sebanyak RM146.9 juta zakat telah dikutip yang menyaksikan pertambahan 15 peratus atau RM19.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, agihan zakat bagi tempoh sama ialah sebanyak RM189.7 juta berbanding RM155.7 juta pada 2011.

Jumlah pembayar zakat juga mencatatkan peningkatan 10 peratus iaitu dari 133,855 orang pada tahun lalu kepada 147,480 orang bagi tempoh enam bulan tahun ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment