My Add

Wednesday 11 July 2012

Yakin hubungan dengan AS terus kukuh

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia yakin hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) akan terus kukuh dan memacu ke arah perkembangan serta memberi manfaat kepada kepentingan kedua-dua pihak pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata, kekuatan hubungan antara Malaysia dan AS itu adalah kerana kedua-dua negara saling menerima dan menghormati perbezaan yang wujud, namun pada masa sama menetapkan matlamat yang sehaluan.

Katanya, kekuatan itu dibuktikan melalui kunjungan dua senator AS pada bulan lalu yang merupakan petanda positif bagi hubungan dua hala yang telah dibina Malaysia dengan negara tersebut.

"Saya amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada dua senator AS yang terkemuka di Putrajaya bulan lepas. Kedua-duanya telah memberikan ulasan yang amat baik terhadap Malaysia terutamanya dalam usaha kami mentransformasikan ekonomi, politik dan sosial negara.

"Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan untuk semua. Pencapaian yang merangkumi usaha-usaha dan kerjasama antara semua rakyat dan telah mendapat iktiraf rakan-rakan kita dari negara luar," kata beliau di dalam blogwww.1malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, dari aspek ekonomi, hubungan erat itu dibuktikan apabila AS menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai RM127 bilion setahun, selain menempatkan lebih 600 syarikat AS beroperasi di negara ini.

"Perkongsian ilmu turut merupakan aspek penting dalam hubungan antara kedua-dua negara, sebagai contoh, pengenalan kepada reformasi pendidikan di negara kita baru-baru ini dan menyelesaikan kadar keciciran yang telah diilhamkan daripada AS," katanya.

Beliau berkata, ikatan erat kedua-dua negara itu juga bermakna walau apa pun kepayahan yang dialami di seluruh dunia, hubungan Malaysia dan AS tidak pernah terjejas.

Sebagai contoh, katanya, tugas-tugas sukarelawan yang dihantar oleh Sukarelawan AS atau Peace Corps Organization telah banyak membantu pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia sejak 50 tahun lalu.

"Daripada hanya 35 sukarelawan yang tiba ke negara ini ketika itu, angka itu terus berkembang dan setakat ini 3,500 sukarelawan dari AS telah berkhidmat dan bekerjasama dengan rakyat Malaysia untuk menambah baik kehidupan semua termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Katanya, Malaysia juga mempunyai banyak lagi perkara yang boleh ditawarkan kepada AS dan dunia seperti model agama Islam yang mengamalkan kesederhanaan dan mendorong ke arah kebaikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment