My Add

Monday 13 August 2012

3 lelaki Nigeria perdaya wanita melalui internet ditahan

MELAKA ISNIN, 13 Ogos, 2012: Polis merampas wang tunai RM40,000 dan menahan tiga lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket memperdaya wanita melalui internet di sebuah pangsapuri di Batu Berendam di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing, berkata semua lelaki berusia 26 hingga 28 tahun serta wanita tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai pasangan kekasih seorang daripada lelaki terbabit ditahan dalam serbuan pada 12 tengah hari hasil risikan polis.

"Polis menjumpai wang tunai tersebut disorok di bawah tilam yang kononnya dikumpul daripada rakan-rakan mereka untuk sesuatu tujuan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Turut dirampas tiga pasport tamat tempoh, enam telefon bimbit dan tiga komputer riba.

Soh berkata hasil siasatan mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai visa pelajar asing di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur namun satu daripadanya tamat tempoh.

Beliau berkata seorang daripada mereka juga mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama dan dihadapkan di mahkamah baru-baru ini.

Katanya polis turut menemui beberapa sijil palsu menggunakan logo kerajaan Malaysia yang disimpan dalam pemacu pena kononnya mereka diberi projek bernilai jutaan ringgit selain salinan sijil daripada sebuah bank tempatan yang menyatakan mereka menerima cek berjumlah AS$1.8 juta. 

"Semua dokumen palsu ini bertujuan memperdaya dan meyakinkan mangsa mereka melalui e-mel terutama golongan wanita untuk terlibat dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Soh berkata secara keseluruhan, sebanyak 24 kes penipuan internet membabitkan kerugian RM367,550 dilaporkan antara Januari dan Julai lalu.

Katanya jumlah kerugian berkenaan dijangka terus meningkat berbanding tahun lepas yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM448,779 melibatkan 20 kes penipuan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment