My Add

Monday 13 August 2012

AS johan, Selamat Tinggal Olimpik London

*SUASANA di Stadium Olimpik ketika majlis penutup sedang 
berlangsung. - Foto ihsan London2012

 *STADIUM Olimpik pada majlis penutup Sukan Olimpik 2012 
London. - Foto ihsan London2012
LONDON - Sukan Olimpik 2012, temasya kali ke-30, melabuhkan tirai di Stadium Olimpik di sini, dengan Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai johan.

Temasya seterusnya akan berlangsung di Brazil pada 2016.

Putera Harry menghadiri majlis penutup bagi mewakili Ratu Elizabeth II. Britain menjadi tuan rumah buat kali ketiga, sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri dari segi prestasi atlet dan juga persembahan majlis penutup dan perasmian,

Sebagaimana majlis perasmian yang menyaksikan sajian persembahan hiburan dengan kemunculan pelakon dan selebriti James Bond dan Mr Bean, majlis penutup hampir tiga jam, yang direka oleh Kim Gavin, menyatukan semula kumpulan Spice Girls.

Pada jam 11.27 malam (waktu London), bendera rasmi Sukan Olimpik diturunkan dan diserahkan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Satu minit kemudian bendera Brazil dan Greek dinaikkan di stadium menandakan dunia akan 'menuju' ke benua Amerika Selatan dalam empat tahun lagi.

Lagu kebangsaan Brazil lalu dimainkan dan benderanya dinaikkan menandakan Brazil bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2016. Bertemakan 'Transformation and Passion', ia merupakan kali pertama sebuah negara Amerika Selatan menjadi tuan rumah sukan Olimpik.

Pada temasya kali ini, AS memperoleh 46 pingat emas untuk muncul johan. Johan Sukan Olimpik Beijing 2008, China berada di tangga kedua dengan 38 pingat.

Dari segi pungutan pingat, tuan rumah menduduki tempat ketiga dengan merangkul 29 emas, 17 perak dan 10 gangsa untuk memperbaiki kedudukan mereka pada Olimpik Beijing 2008.

Di Beijing, Britain menduduki tempat keempat dengan memungut 19 emas, 13 perak dan 15 gangsa di belakang Rusia, Amerika Syarikat dan tuan rumah China.

Malaysia yang memperoleh dua pingat masing-masing satu perak dan satu gangsa menduduki tempat ke-63.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa tuan rumah Britain terus menampilkan persembahan berwarna-warni dan mempersonakan yang sekali gus menonjolkan bakat seni kreatif mereka.

Acara bermula dengan perarakan masuk ke dalam stadium oleh para kontinjen negara yang mengambil bahagian.

Jasa para sukarelawan yang bertungkus-lumus selama 16 hari untuk menjayakan kejohanan terbesar dunia itu tidak dilupakan apabila mereka turut diberi penghargaan.

Lima atlet termasuk dari Malaysia iaitu penerjun Leong Mun Yee dipilih untuk menghadiahkan bunga kepada lima wakil para sukrelawan tersebut.

Bagi memperkenalkan tuan rumah dan mengalu-alukan kedatangan bakal tetamu, para karyawan Brazil telah mempersembahkan pelbagai kebudayaan, seni dan tarian mereka termasuk penampilan khas legenda bola sepak dunia kelahiran Brazil, Pele.

"Empat tahun dari sekarang, Olimpik ke-31 akan berterusan di Brazil," kata Rogge dalam ucapannya.

"Maka dengan itu 'Cariocas' (masyarakat Rio de Janeiro) dan Brazil secara umumnya adalah sangat teruja," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Rio 2016 untuk sukan Olimpik dan Paralimpik, Leonardo Gryner kepada para wartawan dalam sidang akhbar terdahulu.

Kelopak yang membentuk kawah Obor Olimpik 2012 kemudiannya diturun dan dipadamkan, menandakan berakhirnya Sukan Olimpik London yang bermula 27 Julai lalu. - AGENSI

No comments:

Post a Comment