My Add

Wednesday 15 August 2012

Bahagian atas sebuah pasar raya di Rompin terbakar

BAHAU, RABU, 15 Ogos, 2012: Tindakan pantas 15 anggota pasukan bomba sukarela Rompin dan Palong 6 berjaya mengawal kebakaran daripada merebak di sebuah pasar raya dua tingkat di Rompin dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau Nuhazhim Mohd Shah berkata dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, anggota pasukan bomba sukarela berkenaan yang sampai dulu di tempat kejadian bertindak pantas mengawal api daripada merebak ke bangunan 12 blok kedai.

"Dalam kejadian itu, hanya bahagian atas kedai dua tingkat yang dijadikan pasar raya itu musnah terbakar," katanya ketika dihubungi.

Katanya, bomba menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kebakaran itu pada jam 1.58 pagi.

Beliau berkata, 18 anggota bomba dari balai Bahau, Gemas dan Sri Jempol bersama tiga jentera bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal api dalam masa kira-kira setengah jam dan api dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, sebuah rumah di Kampung Datuk Mansur, Seremban musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira jam 8.30 pagi ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiga jentera termasuk 'water tanker' bersama 15 anggota dari balai bomba Seremban dan Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.46 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment