My Add

Monday 13 August 2012

Bolt rangkul emas ketiga pecah rekod dunia 4x100m


AHAD, 12 OGOS, 2012:
USAIN Bolt memastikan namanya terus menjadi ingatan dalam sejarah apabila meraih pingat emas ketiga kali kedua berturut-turut pada Sukan Olimpik ketika membantu mencipta rekod baru dunia bersama kuartet 4x100 meter Jamaica semalam.

Ia menjadi hari paling sempurna buat Bolt yang menjadi atlet pertama mempertahankan pingat emas dalam acara 100m dan 200m Sukan Olimpik.

Kuartet yang dibarisi Nesta Carter, Michael Frater, pemenang dua pingat perak Yohan Blake dan Bolt mencatat 36.84 saat, memadamkan rekod lama 37.04s yang mereka lakukan pada tahun 2011 di Kejohanan Dunia di Daegu.

Amerika Syarikat meraih perak di samping mencipta rekod kebangsaan, 37.04s manakala Trinidad dan Tobago mendapat gangsa dengan catatan 38.12s selepas Kanada tersingkir.

“Rasa gembira dapat mengakhiri kejohanan dengan kejayaan ini. Tahun lalu kami lakukan di kejohanan Dunia dan tahun ini kami lakukan lagi, jadi ia memang satu perasaan istimewa.

“Ini adalah kejohanan yang menarik. Pasukan kami telah memberikan yang terbaik dan saya tahu tiada apa yang mustahil. Saya harap dapat berlari dengan lebih pantas lagi tetapi masih ada ruang untuk terus meningkat, " kata Bolt.

Ketiadaan Asafa Powell sebagai pelari pertama kerana mengalami kecederaan, memberi ruang kepada Carter yang memberikan baton kepada ketua pasukan Frater dan Blake sebagai pelari ketiga.

Blake berjaya meletakkan Jamaica dalam kedudukan selesa sebelum penonton bersorak melihat Bolt menyudahkan larian dengan penuh bergaya.

Pelari terakhir Amerika, Ryan Bailey cuba memberikan saingan sengit kepada Bolt tetapi pelari Jamaica itu jelas sukar digugat.

Bolt kini telah memenangi tujuh daripada lapan kejuaraan individu dengan satu kegagalannya itu berpunca daripada penyingkiran kerana melakukan kesalahan bermula awal pada kejohanan Dunia di Daegu pada tahun lalu.

Bolt yang juga pemegang rekod dunia 100m dan 200m merupakan sebahagian kuartet 4x100m yang memenangi empat pingat emas.

Tyson Gay, yang menjadi pelari ketiga Amerika mengakui perasaannya bercampur baur selepas hanya meraih perak.

“Kami kalah tetapi dalam masa sama dapat melakukan rekod kebangsaan. Kadang kala ia memang tetapi saya gembira kerana dapat pingat, saya tetap berpuas hati, " kata Gay.

Bailey menambah: “Saya telah berlari sedaya mungkin, saya telah bekerja keras namun kami tidak boleh rasa terlalu sedih.

“Apabila saya mengambil baton, saya hanya fikirkan lari, lari, lari... tetapi Bolt memang seorang gergasi, sukar untuk mengejarnya, " katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment