My Add

Thursday 16 August 2012

Cadangan pelajar bawa alat komunikasi diketahui akhir tahun

KUCHING, KHAMIS, 16 Ogos, 2012: Cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan akan diputuskan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pandangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan berkenaan. 

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran itu atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan pelajar terhadap pembelajaran.

Wee berkata cadangan itu adalah selari dengan perkembangan semasa serta garis panduan akan ditetapkan bagi mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelak ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan tahunan sebanyak RM11.2 juta kepada 165 buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) bantuan kerajaan dan sekolah mubaligh aliran Cina di sini hari ini.

Wee juga berkata kementerian akan memperbaiki bangunan sekolah SJK yang usang di Sarawak termasuk menggantikan struktur bumbung, perabot serta menambah kapasiti bilangan murid. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment