My Add

Wednesday 15 August 2012

Cubaan tiga lelaki rompak mesin ATM gagal

ALOR SETAR, RABU, 15 Ogos, 2012: Cubaan tiga lelaki bertopeng untuk merompak mesin ATM di sebuah bank di Simpang Kuala dekat sini awal pagi ini gagal selepas alat penggera bank terbabit berbunyi.


Kejadian pada jam 3.56 pagi itu dipercayai berlaku apabila suspek yang menggunakan peralatan kimpalan cuba menebuk sebuah mesin ATM untuk melarikan wang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, perompak berkenaan mengambil masa tiga minit untuk cuba menebuk mesin ATM itu tetapi alat penggera keselamatan berbunyi menyebabkan mereka panik.

Beliau berkata, mereka terus melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih dan turut membawa bersama peralatan merompak.

Katanya, pergerakan mereka dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di bank itu.

Adzaman berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Tinjauan Bernama mendapati pintu utama bank terbabit yang menempatkan pengawal keselamatan turut dikunci dari luar bagi mengelak ditangkap oleh pengawal keselamatan bertugas ketika itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment