My Add

Sunday 12 August 2012

Dakwaan Raja Petra perlu disiasat

 Nazri Aziz
PADANG RENGAS, SABTU, 11 Ogos, 2012: Pendedahan mengenai komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasundram yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu wajar disiasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, dakwaan itu bukan sahaja serius kerana melibatkan pemimpin negara, tetapi juga membabitkan kredibiliti sistem perundangan.

"Segala dakwaan ini perlu disiasat bagi melihat kesahihannya. Lihat apa yang didedahkan supaya rakyat mengetahui kebenaran dan membuat penilaian," katanya selepas menyampaikan bantuan hari raya sempena Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pendedahan pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin bahawa akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan itu didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Raja Petra mendakwa Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib dan perkara itu diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Nazri menegaskan, negara memberi kebebasan bersuara terhadap semua rakyatnya termasuk Raja Petra yang mempunyai hak mendedahkan perkara yang dianggap benar secara bertanggungjawab.

Bagaimanapun kata beliau, masih terlalu awal untuk membuat sebarang justifikasi berhubung pendedahan Raja Petra itu.

"Kita kena melihat kesahihan selepas siasatan dilakukan, terlalu awal untuk kita membuat apa-apa kesimpulan berhubung perkara yang didedahkan," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment