My Add

Saturday 11 August 2012

Dunia iktiraf Malaysia pusat kewangan Islam: Ahmad Husni

IPOH, SABTU, 11 Ogos, 2012: Jemputan Sudan untuk Malaysia menubuhkan bank kewangan Islam di negara itu membuktikan bahawa dunia mengiktiraf Malaysia sebagai pusat dan hub kewangan Islam.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan bagaimanapun perlu berbincang dengan bank yang terbabit berhubung jemputan itu.

"Berhubung permohonan daripada negara Sudan, perkara ini kita perlu berbincang dengan pihak bank sama ada mereka bersedia untuk pergi ke Sudan atau tidak," katanya selepas program membeli belah bersama anak-anak yatim di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Duta Sudan ke Malaysia Nadir Yousif Eltayeb dalam sidang media mengenai ‘Peluang Perniagaan di Sudan’ baru-baru ini menjemput Malaysia untuk menubuhkan bank kewangan Islam di negara itu dalam usaha melancarkan pembiayaan dagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

Ahmad Husni berkata, Malaysia bersedia untuk mengembang dan memperluaskan sistem perbankan Islam dan konvensional ke negara lain.

"Ini selaras dengan apa yang dilaksanakan oleh Bank Pembangunan Islam yang melancarkan ‘Nation Partnership Concept’ di mana Malaysia adalah sebuah negara yang dipilih untuk membantu negara Islam lain dalam meningkatkan ekonomi negara mereka," katanya.

Beliau berkata, untuk peringkat pertama, Malaysia sudah mempromosikan perbankan Islam dan produk halal di Tunisia.

"Ada beberapa negara lagi yang meminta kita untuk mengada perbincangan dan meningkatkan ekonomi negara mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment