My Add

Tuesday 14 August 2012

Emas 2016: Tidak mustahil, kata Pandelela


*PANDELELA Rinong (tengah) diraikan oleh ibu bapanya Pamg ak Joheng,(kiri) dan Hartini Lamim,(kanan) ketika tiba dari London - Foto BERNAMA


NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI

SELASA, 14 Ogos, 2012:
RATU terjun negara, Pandelela Rinong memasang impian untuk mengekalkan pencapaiannya dalam kedudukan ketiga terbaik acara 10m Platform pada Sukan Olimpik 2016.

Katanya, beliau akan terus meningkatkan prestasi bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai.

Ketika ditanya apakah beliau berupaya untuk 'menukar' warna pingat - daripada gangsa sekarang kepada perak atau emas di Brazil, Pandelela tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi.

Namun semua itu tidak mustahil jika memperoleh latihan yang cukup, kata atlet muda dari Sarawak ini.

"Sekarang ini sasaran saya hanya untuk kekalkan kedudukan ketiga terbaik.

"Namun, saya akan berusaha untuk meraih pingat perak. Dan itu tidak mustahil," kata beliau sambil menambah, "untuk meraih emas saya tidak boleh janji."

"Ini kerana saingan China terlalu hebat. Apa yang boleh saya katakan, saya akan melakukan yang terbaik untuk negara," katanya lagi.

"Saya akan cuba mengekalkan kedudukan tersebut. Dan, saya harap saya dapat melakukannya.

"Lagipun, dengan adanya latihan berterusan, saya yakin yang saya mampu berada dalam kedudukan ketiga terbaik. Dan itu tidak mustahil," kata Pandelela pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Pandelela berjaya mencipta sejarah apabila berjaya mengumpul 359.20 mata untuk meraih pingat gangsa, sekaligus menjadi atlet wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik.

Gangsa beliau merupakan pingat pertama bagi kontingen Malaysia untuk acara terjun sejak penyertaan pertama negara di sukan itu iaitu di Olimpik Melbourne 1956. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment