My Add

Wednesday 15 August 2012

Fasa kedua SL1M sasar 4,000 graduan

Oleh LEE HOOI BOON
PULAU PINANG, SELASA, 14 Ogos, 2012: Seramai 4,000 graduan daripada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta dari seluruh negara disasarkan akan menyertai fasa kedua Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, fasa kedua program tersebut memberi keutamaan kepada graduan yang berasal daripada keluarga miskin dan mendiami kawasan pedalaman.

Beliau yakin fasa kedua akan mendapat sambutan menggalakkan seperti juga fasa pertama tahun lalu apabila seramai 8,262 graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas menyertai SL1M.

"Program ini bukan sekadar dilaksanakan di Kuala Lumpur malahan ia juga dijalankan di Pulau Pinang, Sabah dan negeri-negeri lain demi membolehkan SL1M membantu golongan yang betul-betul memerlukan.

"Walaupun kami menyasarkan seramai 4,000 peserta untuk fasa kedua ini, kerajaan akan meningkatkan jumlahnya jika ramai graduan yang memohon," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Outreach SL1M, di sini hari ini.

Outreach SL1M bertujuan menyampaikan maklumat dan pengenalan secara lebih terperinci mengenai program berkenaan bagi menarik lebih banyak penglibatan dan menggalakkan syarikat korporat menyertainya.

Pulau Pinang yang mewakili zon utara dipilih sebagai tempat titik tolak permulaan sebelum menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Nor Mohamed memberitahu, graduan yang menyertai program itu akan diberi elaun RM1,000 setiap bulan daripada syarikat terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, syarikat yang menyertai SL1M boleh menikmati insentif potongan cukai berganda berkuatkuasa 1 Jun lalu.

"Setakat ini, sebanyak 80 syarikat termasuk syarikat kecil dan sederhana menyertai program tersebut sama ada menawarkan pekerjaan atau memberikan latihan serta pengalaman kepada graduan menganggur," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment