My Add

Monday 6 August 2012

Felcra bantu pekebun kecil

*MOHD. Shafie Apdal (tengah) menyampaikan dividen Felcra Sungai Yeh Yeh kepada wakil penerima di Masjid Kampung Bugaya Darat, Semporna, Sabah, kelmarin. - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN


Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
SEMPORNA, AHAD, 05 Ogos, 2012: Felcra akan meneruskan komitmennya membantu peneroka bukan sekadar untuk menikmati kemudahan asas yang lebih baik tetapi mampu memperoleh pulangan dividen lumayan setiap tahun.

Sehubungan itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, agensi tersebut akan memastikan bantuan teknikal dapat disalurkan secara konsisten bagi memastikan ladang-ladang diuruskan dengan lebih cekap dan sistematik.

"Felcra memperuntukkan RM400 juta bagi bayaran dividen kepada 85,000 penerokanya sempena sambutan Aidilfitri ini.

"Daripada jumlah itu, kira-kira RM5 juta diperuntukkan kepada 2,413 peneroka di Sabah, dengan lebih RM521,000 daripadanya diberi kepada 25 peneroka di Semporna," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengagihan dividen Felcra kepada peneroka dan majlis berbuka puasa bersama rakyat di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir.

Menurut Mohd. Shafie, salah seorang peneroka di daerah tersebut adalah individu yang menerima dividen tertinggi iaitu RM60,000.

Jelas beliau, hasil daripada titik peluhnya itu, peneroka terbabit juga telah berjaya membuka sebuah kedai runcit di pekan Semporna.

"Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk memastikan pendapatan penduduk luar bandar dapat dipertingkatkan dengan kesesuaian yang terdapat di kawasan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment