My Add

Sunday 12 August 2012

Getah masih sumber pendapatan lumayan: Mustapa


KOTA BHARU, AHAD, 12 Ogos, 2012 Harga getah yang masih tinggi di pasaran ketika ini membuktikan tanaman komoditi itu masih mampu memberi pendapatan lumayan kepada penduduk luar bandar, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata permintaan terhadap getah bagi memenuhi keperluan industri masih tinggi dari China dan negara lain, sekaligus memberi ruang cerah kepada sektor tanaman getah di Malaysia.

"Ekonomi luar bandar berada dalam keadaan baik berikutan harga getah yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa berkata perolehan dividen yang tinggi antaranya didorong oleh harga komoditi itu yang tinggi di pasaran dan kaedah Amalan Pertanian Baik yang diamalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang berjaya meningkatkan pengeluaran hasil.

Pada 28 Julai lepas, Risda mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM314.6 juta kepada 39,306 peserta RTBB dan Tanam Semula Komersial (TSK) bagi tahun 2011, berbanding RM189 juta bagi tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata pengagihan dividen tersebut dijangka selesai sebelum menjelangnya hari raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata di Kelantan, seramai 1,459 pekebun akan menerima dividen berjumlah RM4.7 juta melibatkan kawasan tanaman 1,417 hektar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment