My Add

Tuesday 14 August 2012

Harga minimum rokok RM7 mulai 1 September


PUTRAJAYA, SELASA, 14 Oos, 2012: Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 Sept dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.

Beliau berkata kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu karton.

"Mulai 1 Sept 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan... semua jenama rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.

"Pengilang-pengilang membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan 'Duta ASAP Smoke Free Lifestyle', di sini hari ini.

Liow berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Tahun lepas harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok (RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05).

Liow berkata walaupun sebelum ini penjualan rokok pada harga yang lebih rendah dilarang, syarikat rokok dibenar membuat pelarasan harga sebanyak tiga kali setahun dengan perbezaan harga tidak boleh melebihi lima peratus.

Beliau berkata kerajaan menguatkuasa peraturan baru itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Dengan penguatkuasaan peraturan baru ini, kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment