My Add

Sunday 19 August 2012

Insafi nasib rakan seagama di negara lain

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Ogos, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam di Malaysia agar menginsafi nasib rakan seagama mereka di negara lain yang terpaksa menempuh kesengsaraan akibat keadaan porak-peranda berikutan wujudnya persengketaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu bersyukur kerana perayaan Hari Raya Aidilfitri dan juga perayaan hari-hari kebesaran Islam lain disambut dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Tiada pergolakan, tiada pertumpahan darah, tiada kecelakaan besar yang melanda negara kita seperti yang dialami oleh saudara-saudara Islam di beberapa buah negara yang sedang bergolak dan ditimpa bencana.

“Ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang patut kita syukuri. Sebagai umat Islam yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah, maka sewajarnya kita mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang kita kecapi di tanah air yang tercinta ini," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, umat Islam juga jangan sesekali melupakan golongan yang telah banyak berjasa kepada negara, namun tidak dapat bersama sama merayakan Aidilfitri kali ini.

“Limpahi doa ke atas roh mereka yang telah pergi meninggalkan kita dan kenanglah jasa serta perjuangan mereka sehingga kita dapat hidup aman sentiasa," tambah beliau.

Dalam keghairahan berhari raya, katanya, perlu diingat agar tidak terlalu asyik berbelanja dan menyediakan persiapan hari raya sehingga membawa kepada pembaziran.

Menurut beliau, tradisi saling kunjung-mengunjungi dan merapatkan silaturahim sesama rakyat negara harus diteruskan termasuk melakukan amalan rumah terbuka bagi memberi peluang kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama sama-sama merayakan hari raya.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta rahmat-Nya, kita dapat menyempurnakan ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

“Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah melambangkan kemenangan kita melaksanakan kewajipan sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak, kemenangan kita menyucikan jiwa, kemenangan kita untuk kembali kepada fitrah insan yang semulia-mulianya di sisi Allah SWT.

“Justeru, Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan, keriangan dan keinsafan oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Di kesempatan ini, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia juga di mana sahaja mereka berada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment