My Add

Monday 6 August 2012

Isu murtad: Jangan salahkan kerajaan,

JERAI, AHAD, 05 Ogos, 2012: Pihak yang cuba memurtadkan orang Islam tidak boleh menyalahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan terhadap mereka kerana terdapat peruntukan undang-undang berhubung larangan kegiatan tersebut di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kewujudan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam membolehkan majlis agama Islam negeri-negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

"Oleh itu saya menyeru kepada pihak terlibat supaya mematuhi undang-undang. Jangan sampai bila kita sudah ambil tindakan, kata tiada keadilan sedangkan sudah difahami dalam enakmen tidak dibenarkan kegiatan seumpama itu," katanya selepas menyampaikan sumbangan seunit mesin hemodialisis dan hamper kepada pesakit di Hospital Yan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) baru-baru ini bahawa wujud usaha memurtadkan orang Islam terutama golongan gelandangan sekitar Pulau Pinang menggunakan wang tunai dan keperluan asas sepanjang Ramadan.

Jamil Khir berkata, tindakan perundangan ke atas pihak yang cuba memurtadkan orang Islam bukan perkara baru kerana ia sentiasa berulang.

Beliau memberi contoh satu kes di Pahang pada 2002 yang mana seorang tertuduh yang didakwa memurtadkan orang Islam dikenakan hukuman penjara dan denda.

Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk majlis agama Islam negeri-negeri supaya mengambil serius perkara seumpama itu kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan mampu memudaratkan masyarakat.

Jamil Khir berkata, di peringkat Pusat, kerajaan turut mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah yang memantau pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Jawatankuasa itu kata beliau, sedang diperluaskan di negeri-negeri bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas kegiatan cuba memurtadkan orang Islam atau ajaran yang menyimpang daripada agama itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment