My Add

Monday 6 August 2012

Jangan cetus kemarahan umat Islam

Oleh SAFINA RAMLI
SUNGAI PETANI, AHAD, 05 Ogos, 2012: Masyarakat di negara ini diingatkan supaya tidak menyiarkan sebarang bentuk bahan penerbitan yang tidak menghormati agama Islam kerana ia boleh mengganggu keharmonian dan mencetuskan kemarahan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penyiaran karikatur menghina sahabat Rasullullah oleh sebuah pusat tuisyen di Tangkak baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak wajar kerana semua agama mengajar penganutnya supaya menghormati agama lain serta menjaga keharmonian sesama manusia.

Katanya, sebarang bentuk penerbitan yang berkaitan agama Islam harus mendapat kebenaran daripada majlis agama Islam negeri dan jika tidak mendapat kelulusan, perkara itu adalah salah di sisi undang-undang.

“Dalam konteks penyiaran karikatur tak kira dalam bentuk tulisan, kartun atau apa sahaja yang membawa kepada sifat sinis tak kira dalam agama apa sekali pun, ia adalah sesuatu yang menghina.

“Walaupun sudah ada permohonan maaf oleh guru dan pemilik pusat tuisyen ini, saya suka untuk ingatkan satu sama lain bahawa kita tidak boleh sakiti mana-mana masyarakat apatah lagi amalan agama yang dipegang oleh individu di dalam negara ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan guru dan pemilik pusat tuisyen yang meminta maaf atas tindakan mereka yang didakwa menghina sahabat Rasulullah dalam bentuk karikatur.

Khamis lalu, seorang guru, Fu Chong Yoong, 26, dan pemilik pusat tuisyen tersebut, Lim Lee Yee, 26, yang didakwa melakukan perbuatan itu di pusat tuisyen di Tangkak, Ledang membuat kenyataan memohon maaf dan menyesali kesilapan yang telah mereka lakukan.

Terdahulu, Jamil menyampaikan sumbangan hari raya daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) dan Jakel kepada 200 anak-anak yatim dari kawasan Kuala Muda dan Yan.

Menurut Jamil, perkara melibatkan agama Islam adalah sesuatu sensitif dan boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Mana-mana agama tidak ajar kita untuk hina orang lain. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa kalau satu pihak lain merasa terhina, tentunya dia akan balas dalam pelbagai bentuk.

“Ini yang kita tak nak berlaku, lebih-lebih lagi hal agama kerana ia adalah satu sensitif terutama agama Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment