My Add

Saturday 11 August 2012

Janji pembangkang: Negara boleh bankrap

KUCHING, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Rakyat hanya perlu menggunakan akal fikiran dan tidak semestinya menjadi 'rocket scientist' untuk menilai pelbagai janji yang ditabur parti pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, jika dihitung janji pembangkang seperti mahu menurunkan harga minyak, pendidikan percuma, penurunan tol dan harga kereta kebanyakannya tidak mungkin dapat ditunaikan.

Sedangkan, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai hala tuju yang jelas umpamanya melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) berbanding pembangkang yang hanya bersandarkan isu.

"Segala-galanya (janji pembangkang) kalau kita hitung negara akan bankrap dalam satu malam, dia pun tahu tidak boleh buat sebab itu dia takut apabila kita gunakan tema Janji Ditepati.

"Ia bukan bermotif politik kerana Janji Ditepati itu merupakan prinsip Islam dan sejagat," katanya yang berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, pemimpin kanan negeri dan kira-kira 1,000 tetamu jemputan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menegaskan beliau yakin Bumi Kenyalang masih lagi bumi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli komponen BN merapatkan perpaduan di kalangan mereka.

"Di bawah pimpinan Pehin Seri (Abdul Taib) kita boleh bekerja dengan rapat bersama-sama apabila banyak perkara yang telah kita rundingkan di samping kita menghormati hak Sarawak, Sarawak juga menghormati hak kerajaan Pusat.

"Apabila kita saling memahami, tiada masalah yang tidak dapat kita selesaikan, masalah akan sentiasa ada tetapi tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment