My Add

Monday 20 August 2012

Johor bakal muncul 'Ibu Kota Taman Tema Malaysia'

JOHOR BAHRU, ISNIN, 29 Ogos, 2012: Apabila taman tema Legoland pertama Asia di Nusajaya dibuka pada orang ramai September ini, ia menandakan kemunculan Iskandar Malaysia dan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara dan serantau.

Selepas pembukaan taman tema Legoland bernilai RM750 juta itu, Iskandar Malaysia akan menerima tarikan baru menerusi pembukaan taman tema keluarga Puteri Harbour pada November tahun ini pula. Kedua-dua taman tema bertaraf antarabangsa ini sudah semestinya akan menjadi daya penarik kepada jutaan pelancong dalam dan luar negara yang merancang untuk berkunjung ke Iskandar Malaysia dan Johor.

Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, Iskandar Malaysia mampu merealisasi potensi besarnya dalam sektor pelancongan menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur.

"Kami percaya Iskandar Malaysia akan menyediakan destinasi pelancongan sempurna untuk bersantai dan berhibur pada harga berpatutan dan kompetitif di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat tentang taman tema keluarga Puteri Harbour oleh anak syarikat Khazanah Nasional, Themed Attractions and Resort (TAR) Sdn Bhd baru-baru ini.

Taman tema keluarga Puteri Harbour yang juga terletak di Nusajaya dibina dengan kos RM115 juta, akan menampilkan beberapa watak animasi kegemaran kanak-kanak seperti Hello Kitty, Bob The Builder, Angelina Ballerina, Pingu dan Thomas And Friends. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment