My Add

Wednesday 15 August 2012

Kanabis: Pelajar warga Guinea dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

SHAH ALAM, RABU, 15 Ogos, 2012:: Seorang penuntut warga Guinea dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 934 gram yang ditemui di dalam peti sejuk rumah sewanya pada Ogos tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan tertuduh, Barry Ismail, 19, menjalani hukuman itu berkuatkuasa mulai tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 22 Ogos 2011.

Penuntut jurusan pengurusan perniagaan itu didakwa melakukan kesalahan di sebuah rumah beralamat PS-15-15, Tingkat 15, Pelangi Sentral, Persiaran Surian PJU6, Petaling Jaya, kira-kira pukul 6 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, polis menemui satu paket plastik mengandungi 26 ketulan mampat dedaun kering berbalut kertas timah dan dua ketulan mampat dedaun kering dibaluti kertas timah warna merah serta plastik lutsinar di dalam peti sejuk di rumah sewa penuntut itu dan laporan kimia kemudiannya mengesahkan bahawa ia adalah dadah kanabis.

Ismail sebelum ini berdepan dengan hukuman mati apabila dia didakwa atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan itu.
Terdahulu, peguam Puan Sri N. Saraswathy Devi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah muda dan berasal dari keluarga miskin.

Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius dan gejala dadah membabitkan warga asing semakin hari semakin bertambah.

Beliau berkata, walaupun tertuduh merupakan pesalah muda, dia sepatutnya datang ke negara ini untuk menuntut ilmu dan bukan terlibat dalam gejala dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment