My Add

Monday 6 August 2012

Kerajaan prihatin tubuh panel khas kaji bayaran hasil petroleum

KEPALA BATAS, AHAD, 05 Ogos, 2012 : Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan keputusan menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji secara adil dan telus isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap rakyat.

Abdullah berkata, beliau percaya keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu juga demi kepentingan rakyat terutama penduduk di negeri Pantai Timur.

"Alhamdulilah, bagus keputusan Perdana Menteri itu dan ini menunjukkan BN sentiasa mengambil berat hal berkenaan dan sikap seperti itu akan membuatkan rakyat akan lebih senang hati.

"Apa juga keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan semua pihak dan saya percaya pasti sesuatu yang baik akan dibuat oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Seri Endon, Pusat Budi Penyayang di sini, hari ini.

Seramai 350 penerima terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas dari Parlimen Kepala Batas menerima hamper serta wang tunai.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara dan wakil kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri berkenaan.

Sementara itu, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berkata bantuan yang diberi pada hari ini bertujuan membantu mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Selain hari ini, Parlimen Kepala Batas akan menyampaikan sumbangan kepada 1,500 penerima lain dalam beberapa majlis sebelum hari raya nanti, bukan hanya umat Islam sahaja yang menerima, sebaliknya mereka daripada kaum lain turut diberikan bantuan bagi bersama-sama meraikan Aidilfitri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment