My Add

Tuesday 21 August 2012

Malaysia turut sambut ulang tahun Mahatma Gandhi 2 Oktober

SHAH ALAM, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Malaysia akan menyertai negara lain di dunia menyambut ulang tahun kelahiran Mahatma Gandhi ke-143 tahun ini sempena Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa di Royal Lake Club pada 2 Oktober, kata Pengerusi Gandhi Memorial Trust (GMT), S Radhakrishnan.


Beliau berkata, sebagai penghormatan kepada Gandhi, sambutan bermula jam 5 petang itu antara lain termasuk ucapan tokoh terkenal iaitu Penyelaras Mastautin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kamal Malhotra serta bekas Pengerusi (GMT) yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Segmen kedua acara yang dianjurkan GMT itu ialah syarahan dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang akan disampaikan Duta Singapura, K Kesavapany yang juga Gabenor Yayasan Antarabangsa Singapura dan Pengarah Right Livelihood College, Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr Anwar Fazal.

"Pada majlis itu, GMT juga akan menyampaikan Anugerah Khidmat Awam kepada Montfort Boys Town sebagai pengiktirafan selama 53 tahun mereka tanpa penat lelah meneruskan misi secara holistik mendidik belia kurang bernasib baik," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Radhakrishnan berkata, Perhimpunan Agung PBB pada 15 Jun 2007, sebulat suara menerima pakai resolusi mengisytiharkan ulang tahun kelahiran Gandhi pada 2 Oktober sebagai Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa setiap tahun.

"Perhimpunan itu yang berhasrat menjamin budaya keamanan, toleransi, kefahaman dan tanpa keganasan telah menjemput semua negara anggota, badan-badan PBB, pertubuhan bukan kerajaan dan serantau serta individu untuk memperingati hari itu dalam acara yang sesuai dan menyebarkan mesej tanpa keganasan," katanya.

Mohandas Karamchand Gandhi atau Mahatma Gandhi yang dilahirkan pada 2 Oktober 1869, menerajui India mencapai kemerdekaan pada 1947 dan mengilhamkan pergerakan untuk hak sivil dan kebebasan di seluruh dunia.
Gandhi yang dalam perjalanan menghadiri majlis keagamaan ditembak tiga kali di dada dan meninggal dunia pada 30 Januari 1948.

Jutaan masyarakat dunia mengagumi strategi unik 'satyagraha' atau tentangan pasif Ghandi.

Masuk adalah percuma bagi menyertai acara tersebut dan mereka yang berminat boleh e-mel kepada radhakrishnan@shearndelamore.com. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment