My Add

Thursday 16 August 2012

Nadzmi: Saya tidak pertahan jawatan Presiden BAM

  Nadzmi Salleh
RABU, 15 Ogos, 2012:
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh menyifatkan desakan sesetengah pihak supaya beliau berundur lebih awal daripada jawatannya yang berakhir pada Mei tahun depan lebih kepada pendapat individu itu semata-mata.

Beliau yang mengetuai barisan kepimpinan BAM sejak 2001 sebaliknya berkata, jawatan dalam badan induk badminton negara itu termasuk kerusi presiden yang disandangnya ketika ini ditentukan oleh anggota-anggota Majlis BAM yang mempunyai kuasa untuk melantik individu yang layak.

"Semua orang boleh memberikan pendapat masing-masing mengenai kedudukan saya selaku Presiden BAM. Saya mempunyai tempoh (untuk memegang jawatan Presiden BAM) sehingga Mei tahun depan dan biarlah ahli Majlis yang menentukan kedudukan saya selepas ini.

"Malahan, saya turut memberitahu ahli Majlis BAM bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan saya. Jadi, desakan sedemikian hanyalah satu pendapat semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah jenazah mendiang Datuk Punch Gunalan yang meninggal dunia di rumahnya akibat kanser pundi hempedu di sini, hari ini.

Mohd Nadzmi diminta mengulas mengenai desakan sesetengah pihak termasuk pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim baru-baru ini yang meminta beliau meletakkan jawatan lebih awal ekoran kegagalan skuad badminton negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan Olimpik London.

Pada temasya Olimpik yang berakhir Ahad lepas, perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei gagal menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara selepas tumpas kepada musuh tradisinya yang juga pemain nombor satu dunia dari China, Lin Dan dengan keputusan 21-15, 10-21, 19-21 di Wembley Arena.

Lebih mengecewakan apabila pasangan beregu lelaki negara Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong turut gagal meraih pingat gangsa selepas tewas kepada pilihan utama dari Korea Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dengan keputusan 21-23, 10-21.

Sementara itu, Mohd Nadzmi berkata, BAM sebelum ini mencadangkan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang sebagai tapak untuk membangunkan Akademi Badminton Negara berbanding Stadium Juara, Bukit Kiara.

"Yang menjadi masalah sekarang ialah untuk mendapatkan tapak tanah untuk membina bangunan akademi tersebut. Kita telah diberikan tanah untuk membangunkan akademi itu (sebelum ini) namun ia harus ditukar disebabkan beberapa faktor seperti tapak tidak sesuai serta kos pembinaan yang tinggi.

"Saya turut memberitahu Perdana Menteri (pada 12 Ogos lepas) bahawa cara termudah ialah dengan mengambil alih fasiliti yang terdapat di Stadium Juara Bukit Kiara ketika ini. Beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) serta Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) bersetuju dengan pandangan itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment