My Add

Monday 6 August 2012

NGO Melayu Pahang sambut baik

KUANTAN, AHAD, 05 Ogos, 2012: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus isu bayaran tunai hasil petroleum kepada tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Dalam masa sama, mereka turut menyifatkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar telah melakukan perubahan dan transformasi.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang,Muhammad Faiz Hashim berkata, apa yang diharapkan adalah wang royalti petroleum itu nanti disalurkan terus secara tunai kepada rakyat agar tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak terutama pembangkang.

Menurutnya, jika kerajaan ikhlas, beliau yakin majoriti rakyat di Pantai Timur pasti akan menyokong penubuhan jawatankuasa khas itu.

"Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu contoh inisiatif dan keikhlasan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Kalau BR1M boleh diberikan, tidak mustahil pemberian royalti terus kepada rakyat, kerajaan tidak boleh lakukan.

"Sekiranya pemberian royalti terus kepada rakyat ini menjadi kenyataan, ia akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga Pantai Timur dan menjadi ibu kepada segala pemberian diterima rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan secara adil, telus dan saksama isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia negeri, Norol Azali Sulaiman turut memuji langkah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut.

"Ia sebenarnya hasil perancangan teliti jangka panjang yang dirangka demi kepentingan rakyat. Dalam proses kemajuan tamadun, apabila rakyat bersuara, wajib kerajaan mendengar dan mempertimbangkan keperluan rakyat," katanya.

Norol Azali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai amat berharap perbincangan dan kajian yang akan dilakukan oleh jawatankuasa khas tersebut memberikan hasil positif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment