My Add

Wednesday 15 August 2012

OIC bincang isu Syria, Rohingya


*SEORANG pemberontak Syria cuba mengelak daripada ditembak penembak tepat pro kerajaan di sebatang jalan di daerah Salaheddin, utara Aleppo, Syria, kelmarin. - AFP

MEKAH. SELASA, 14 Ogos, 2012: Indonesia mengesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan membantu menghentikan konflik berdarah di Myanmar dan Syria ketika badan dunia itu mula mengadakan sidang tergempar di Mekah, Arab Saudi, hari ini.

OIC dijadual mengadakan sidang tergempar selepas Menteri-Menteri Luar badan dunia itu mengadakan mesyuarat di tempat yang sama semalam bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat Islam di seluruh dunia.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata, Indonesia telah menggesa Menteri-Menteri Luar OIC untuk memikirkan strategi kukuh bagi menghalang keganasan dan pembunuhan di Myanmar dan Syria.

"Mengecam pelbagai masalah yang dihadapi komuniti Islam bukanlah satu penyelesaian. OIC perlu mengambil langkah konkrit dan membina bagi menyelesaikan pelbagai masalah umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Menurut Marty, di Myanmar pula, OIC perlu bertindak membantu menghentikan pembunuhan etnik minoriti Rohingya Islam yang menjadi mangsa keganasan di negeri Rakhine, barat negara itu.

Human Right Watch sebelum ini mendakwa, tentera Myanmar menembak, merogol dan tidak melakukan apa-apa ketika keganasan etnik berlaku di negeri itu Jun lalu.

Tambahnya, Indonesia turut menggesa OIC bersatu membantu menamatkan keganasan di Syria.

"OIC perlu mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi membolehkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera menghentikan keganasan di Syria dan jika perlu menggunakan Bab Tujuh dalam Piagam PBB," katanya merujuk kepada bab tindakan menentang ancaman kepada keamanan, pelanggaran keamanan dan kelakuan agresif.

Marty berkata, Indonesia turut mencadangkan OIC menghantar pasukan pengaman ke Syria jika PBB memerlukan sokongan tambahan dan menambah sasaran utama adalah untuk menghentikan keganasan dan pembunuhan di negara itu. - AGENSI

No comments:

Post a Comment