My Add

Monday 13 August 2012

OKU: Tunggu keputusan majlis fatwa


*PENGERUSI Himpunan Ustaz dan Pendakwah atau Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman

ISNIN, 13 Ogos, 2012: Jawatankuasa Fatwa setiap negeri diminta memutuskan sama ada individu atau pertubuhan Orang Kurang Upaya (OKU) layak menerima zakat.

Pengerusi Himpunan Ustaz dan Pendakwah atau Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana terdapat ruang masih boleh diubah yang mesti mengikut kesesuaian zaman, memandangkan lapan asnaf yang disenaraikan layak sebagai penerima zakat adalah bersifat fleksibel.

“Ini boleh dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri iaitu bagi melihat persoalan asnaf ini, pertamanya, jika OKU berkenaan fakir dan miskin.

“Kedua, memasukkan mereka dalam asnaf fisabilillah sama ada kepada individu OKU atau pertubuhan yang menaunginya selagi mana mereka Muslim. Saya melihat masih ada peluang untuk memasukkan golongan ini ke dalam asnaffisabilillah (berjuang pada jalan Allah).

“Jika sebelum ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut tidak menganjurkan program agama untuk ahlinya, boleh sahaja pihak agihan zakat menjadikannya sebagai syarat bagi untuk agihan. Dengan cara itu ia pasti termasuk dalam fisabilillah.

Selain itu, dapat pula menghalang campurtangan pihak agama lain daripada memancing hati kumpulan ini dengan bantuan kewangan dan moral yang ditawarkan. Jika pihak pengurusan zakat boleh memberikan bantuan ini tentunya ia adalah termasuk dalam aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan Islam serta kebajikannya.

“Kita niat hendak membantu untuk me ngelakkan kebajikan OKU terabai dan diambil alih oleh orang bukan Islam. Sangat dibimbangi sekiranya mereka dibantu oleh kaum agama lain dengan tujuan menarik mereka (OKU) ke dalam agama berkenaan.

Maka ketika itu, golongan OKU ini boleh diberikan zakat,” hujah beliau.

Tegasnya, sekiranya ada pihak yang mempersoalkan pemberian zakat berhubung isu kaya atau miskin seseorang OKU yang bernaung di dalam sesebuah pertubuhan, Dr Zaharuddin berkata, itu bukan suatu masalah yang rumit.

“Kalau seseorang OKU itu kaya sekalipun, zakat tetap boleh diberikan atas alasan asnaf fisabilillah. Telah menjadi perkara yang dipersetujui ulama silam dan kontemporari, bajet fisabilillah memang boleh diagihkan kepada orang yang kaya yang sedang menyebar dan mempertahankan Islam," katanya.

Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu seterusnya berhujah, terdapat satu lagi pandangan iaitu dengan memasukkan OKU ke dalam asnaf al-riqab (hamba), asal konsep ini adalah memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penakhlukan sama ada dari segi cengkaman fizikal seperti terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

“Misalnya seperti yang dilakukan oleh Selangor yang meletakkan sebahagian pesakit HIV sebagai asnaf riqab. “Di negeri tersebut, seseorang wanita yang dianiaya, seperti ditangkap oleh bapa ayam dan dilacurkan, kemudian memperoleh penyakit itu telah diputuskan sebagai asnaf riqab.

“Begitu juga dengan keadaan pesakit HIV yang dijaga oleh orang bukan Islam di mana bagi tujuan menebusnya, maka mereka diletakkan sebagaiasnaf riqab,” ujarnya.

Katanya lagi, berhubung isu pesakit HIV, di mana perlu ditetapkan sama ada mereka benar-benar teraniaya sehingga mendapat penyakit itu atau akibat perbuatan mereka sendiri seperti terlibat dalam penagihan dadah mahupun pelacuran. “Sekiranya sah, mereka sendiri ‘mencari penyakit’, maka adalah tidak layak hendak dijadikan sebagai penerima zakat.

Begitu juga terdapat permintaan untuk memasukkan penagih dadah, mat rempit dan individu yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) ke dalam asnaf riqab.

“Bagi saya, sebarang belenggu disebabkan pilihan sendiri adalah tidak boleh untuk melayakkan mereka sebagai asnaf. Saya berikan contoh, mereka yang meminjam wang dengan ah long dengan tujuan asal untuk kemewahan adalah tidak layak,” ujarnya yang juga ahli panel kajian syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Di sini, saya berpandangan, OKU juga layak sebagai asnaf riqab seperti pesakit HIV yang terbelenggu tadi. Golongan OKU misalnya orang buta, sindrom down dan lain-lain kekurangan diri, adalah terkongkong kebebasan mereka, memandangkan masyarakat sering salah faham mengenai keupayaan OKU untuk bergerak mencari nafkah atau pada kemampuan mereka dalam pembelajaran,” katanya.

Pendakwah tersebut menyatakan, OKU dilihat sebagai golongan yang telah terbelenggu dengan keadaan diri mereka. Bukan pilihan mereka dalam banyak keadaan.

“Perlu difikirkan bagaimana nasib OKU, sekiranya ibu bapa atau waris yang menjaga mereka sudah meninggal dunia. Maka perlunya peranan sesebuah badan persatuan khususnya NGO untuk membantu menguruskan mereka kelak.

“Justeru saya berpendapat, adalah penting untuk memasukkan OKU ke dalam asnaf riqab sebagaimana kes khas berkaitan pesakit HIV yang terperangkap tadi. “Di sini saya berharap supaya ianya boleh diperbincangkan di peringkat Majlis Fatwa kerana sekiranya ada bantuan zakat, golongan OKU boleh bergerak dari sudut memulakan penghidupanm(sumber nafkah),” ujarnya.

Sekali lagi beliau menyatakan, bahawa ada peluang untuk memasukkan OKU sebagai asnaf sama ada individu atau dalam pertubuhan. “Malah lebih baik sekiranya diberikan kepada sesebuah pertubuhan kerana sesebuah institusi tersebut boleh menguruskan OKU dengan baik,” ujarnya.

Menurutnya, selain definisi asnaf yang fleksibel, perlu diingat bahawa zakat adalah untuk orang yang memerlukan seperti hadis Nabi SAW bahawa: “Tidak halal sedekah atau zakat kepada orang kaya atau yang tidak cacat.”

Menurutnya, daripada hadis Nabi, boleh difahami bahawa zakat adalah khas kepada orang miskin serta cacat dan rasionalnya, golongan OKU mengalami kesusahan hidup berganda.

Katanya, persoalan meletakkan OKU dalam kumpulan asnaf yang mana satu adalah permasalahan teknikal tetapi secara prinsipalnya, mereka layak diberikan zakat berdasarkan dalil hadis itu. “Tidak mungkin ALLAH SWT meletakkan sesuatu hukum pada sesuatu perkara yang tidak boleh diaplikasikan.

“Seperti saya katakan, misalnya persoalan asnaf fisabilillah dan riqab ini memerlukan para ulama berbincang untuk mencari jalan keluar atau penyelesaiannya. “Jawatankuasa fatwa setiap negeri dicadangkan supaya membincangkan perkara ini demi kemaslahatan OKU dan pertubuhan yang melindunginya,” ujar beliau.

Menurutnya, janganlah menafikan fisabilillah dalam persoalan OKU tersebut kerana terdapat syarat yang boleh dibuat dalam usaha melayakkan OKU dimasukkan ke dalam asnaf fisabilillah.

 “Misalnya, Lembaga Pusat Zakat boleh mengenakan syarat kepada sesebuah institusi atau NGO OKU supaya memegang agenda bagi setiap pertubuhan yang dikendalikan.

“Sebagai contoh, mungkin sesebuah institusi itu diberi syarat supaya perlu mewujudkan kelas fardu ain atau apa jua majlis keagamaan yang bermanfaat kepada OKU,” kata beliau.

Justeru katanya, beliau menyarankan kepada OKU dan mana-mana NGO supaya menghantar surat rasmi (membuat permohonan) kepada mufti supaya hal dan persoalan ini dibincangkan oleh Majlis Fatwa. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment