My Add

Monday 13 August 2012

Pas, DAP tetap bekerjasama


SHAH ALAM, ISNIN, 13 Ogos, 2012: Perbezaan pendapat antara Pas dan DAP mengenai hukum hudud diakui berlaku, namun pemimpin Pakatan Rakyat (PR) meletakkan kesalahan itu di atas bahu Umno kerana enggan melaksanakan hukum tersebut.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Umno terus enggan melaksanakan hudud walaupun majoriti ahlinya beragama Islam dan memegang kuasa pemerintahan negara.

“Selain itu, terdapat akta yang jadi batu penghalang kepada pelaksanaan hudud ialah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang negeri-negeri dari melaksanakan undang Islam ini.

“Akta ini meletakkan hukum berkaitan dengan jenayah Islam tidak boleh melebihi RM3,000 denda, lima tahun penjara dan enam sebatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Dr Dzulkefly, sejak usul itu dicadangkan, DAP lantang menolak hudud, namun mereka tidak bangkang atau membantah pelaksanaan itu secara keras.

“Berbeza dengan Umno yang jelas ahlinya kebanyakan Islam, membantah pelaksanaan hudud sedangkan ia merupakan salah satu syariat Islam,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menegaskan walaupun DAP tidak bersetuju dengan hudud tetapi tidak bermakna Pas menolak untuk bekerjasama dengan parti tersebut.

“Kami tidak risau atau bimbang untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP walaupun mereka tidak bersetuju mengenai pelaksanaan hudud. Itu hak mereka,” katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment