My Add

Monday 20 August 2012

Pas yakin isu Karpal-Nasharudin tidak jejas Pakatan

G MANIMARAN
SHAH ALAM, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Pas melihat prosiding mahkamah membabitkan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa, jika pun benar-benar menjadi kenyataan, sebagai satu "perkara peribadi" kedua-dua pemimpin berkenaan dan tidak akan menjejaskan Pakatan Rakyat (PR).

Pada masa yang sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar beranggapan bahawa Karpal tidak akan meneruskan hasrat mengambil tindakan perundangan yang hanya akan membuka ruang kepada parti pesaing mereka untuk membuat provokasi dan mengambil kesempatan.

Katanya, beliau juga percaya pemimpin-pemimpin DAP juga mempunyai pandangan yang sama.

"Saya fikir Karpal tidak akan bawa kes ini ke mahkamah. Mungkin, ketika beliau bercakap (pada Jumaat lalu) dalam keadaan emosi... saya yakin beliau tidak akan membawa kes, tindakan yang hanya akan membuka ruang kepada parti seperti UMNO dan media mereka untuk membuat provokasi, mengambil kesempatan menimbulkan kemarahan.

"Saya fikir dan yakin rakyat cukup matang untuk memahami keadaan, apa yang berlaku... pendirian Karpal dan Nasharudin yang sudah jauh daripada pendirian parti (Pas) sekarang," kata beliau sambil menambah, "jika begitu keadaan, mengapa kita harus membuka ruang untuk tindakan provokasi pihak-pihak tertentu."

Ketika ditanya sama ada perkembangan terbaru ini akan menjejaskan kedudukan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mahfuz yang juga Ahli Pokok Sena berkata, ia tidak ada kaitan dengan parti sama ada Pas atau DAP.

"Pendirian ini bukan gambaran parti. Itu adalah tindakan peribadi... terserah kepada mereka," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada kepimpinan PR sudah membincangkan isu berkenaan, beliau memberitahu, "setakat ini belum ada."

"Setakat ini belum sempat berbincang sebab ia berlaku ketika dekat dengan Aidilfitri. Kemungkinan dalam beberapa hari lagi, atau apabila kami mengadakan mesyuarat nanti, kami akan ambil peluang," katanya lagI. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment