My Add

Sunday 5 August 2012

Pemikiran kritikal penting untuk capai taraf negara maju

KAJANG, AHAD, 05 Ogos, 2012: Sistem pendidikan negara perlu sentiasa melalui proses transformasi bagi melahirkan rakyat yang menguasai konsep kebolehan pemikiran kritikal, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Katanya, Malaysia menyedari perkara itu perlu diberi perhatian kerana mana-mana negara yang tidak mempunyai kekuatan dalam aspek pemikiran kritikal di kalangan rakyat, ia pasti akan ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurutnya semasa negara bergerak ke arah mencapai hasrat menjadi negara maju, hakikatnya ketika itu ia perlu memiliki kira-kira 50 peratus tenaga kerja yang berasaskan kepada pengetahuan dan pemikiran kritikal.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha menambah baik sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan ini dalam usaha mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju.

"Kerajaan sedang melihat apakah perubahan yang sepatutnya dilakukan dalam sistem pendidikan, untuk memastikan negara dapat menghasilkan murid, tenaga kerja dan rakyat yang mempunyai keupayaan pemikiran kritikal ini," katanya pada persidangan media selepas merasmikan majlis 'Science Fair For Young Children 2012 (SFYC)' peringkat nasional di German-Malaysia Institute di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, butiran lanjut mengenai pelan transformasi pendidikan yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran akan diumumkan pada 11 September ini dalam usaha mencapai satu lonjakan luar biasa dalam bidang pendidikan negara.

Sementara itu, Subramaniam berkata penambahbaikan sistem pendidikan adalah usaha berterusan kerajaan, dan menurutnya bagi pelan transformasi yang sedang diusahakan, beliau difahamkan Kementerian Pelajaran menerima lebih 11,000 input daripada orang ramai menerusi pelbagai saluran, termasuk menerusi majlis dialog yang dianjurkan. 

Beliau berkata, program SFYC yang diatur oleh Malaysian Indian Science Intellectuals Association pagi ini adalah satu contoh usaha baik dalam mewujudkan persekitaran saintik, khusus bagi menjana pemikiran kritikal di kalangan rakyat, terutama sejak di peringkat bangku sekolah lagi.

Menurutnya, pelbagai kajian sebelum ini menunjukkan bahawa kelemahan yang ketara dalam sistem pendidikan negara ialah ia tidak berupaya melahirkan murid yang menguasai kebolehan pemikiran kritikal ini.

Subramaniam berkata, program seperti SFYC ini mencabar murid dalam persekitaran berfikir, kerana akhirnya kejayaan sistem pendidikan tidak boleh ditentukan menerusi apa yang pelajari dari buku-buku teks semata-mata, tetapi ditentukan dengan melihat kebolehan pemikiran mereka untuk berkembang supaya mereka sendiri dapat menampilkan idea-idea dan konsep yang baru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment