My Add

Sunday 12 August 2012

Penduduk Bandar Tasik Puteri dalam kebimbangan

KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Ogos, 2012: Sebanyak 13 kes pecah rumah melibatkan 10 buah rumah dilaporkan berlaku dalam tempoh dua tahun lalu di Jalan 6/33 Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Ada rumah yang dipecah masuk sebanyak dua kali.

Ahli Jawatankuasa Penduduk, Abdul Halid Zakaria berkata, kesemua 28 keluarga di kawasan itu kini sentiasa dalam keadaan bimbang dan merasa tidak selamat.

"Perkara ini amat membimbangkan kami kerana keselamatan penduduk berada di tahap yang terancam dan tidak selamat seperti sebelum ini,” katanya ketika sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, penduduk sudah membuat laporan kepada pihak polis dan tindakan susulan telah diambil oleh polis dengan membuat rondaan pada setiap malam.

"Kami akan mengambil inisiatif sendiri untuk memasang pagar dawai tidak lama lagi bagi membuat sempadan antara kawasan perumahan kami dengan kawasan ladang kelapa sawit yang dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar perompak ke kawasan perumahan ini,” katanya.

Terbaru, dua buah rumah menjadi sasaran dua kumpulan perompak yang cuba untuk memecah masuk kediaman ketika penghuninya sedang tidur kira-kira 3.30 pagi pada 1 Ogos lepas.

Seorang peguam, Romzy Ismail yang menjadi mangsa pada malam itu berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi aneh yang datang dari bahagian pintu masuk rumahnya.

Beliau yang terkejut apabila mendapati rumahnya cuba dimasuki perompak bertindak membunyikan penggera kereta sebelum menjerit meminta pertolongan daripada penduduk di sekitar kawasan itu namun perompak tersebut sempat melarikan diri.

"Pada malam yang sama, rumah jiran sebelah turut menjadi sasaran namun kesemua perompak melarikan diri setelah kesemua penduduk bertindak keluar daripada rumah masing-masing dan menuju ke rumah kami,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment