My Add

Sunday 12 August 2012

Penganjur Himpunan Janji Bersih, patuhilah undang-undang:

KOTA BHARU, AHAD, 12 Ogos, 2012:: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihati penganjur Himpunan Janji Bersih supaya tidak membelakangkan undang-undang negara ketika menganjurkan perhimpunan terbabit di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.

Ismail berkata, hak untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut kemerdekaan negara adalah milik setiap rakyat di negara ini, namun berharap pihak penganjur tidak membawa sebarang agenda lain untuk kepentingan pihak tertentu.

"Saya melihat beginilah... kalau mereka nak berhimpun semata-mata untuk meraikan kemerdekaan, itu semua hak rakyat dan itulah semangat yang kita mahukan.

"Tapi saya harap mereka tidak bawa agenda untuk kepentingan pihak tertentu dan membelakangkan undang-undang negara," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos.

Ismail berkata, penganjur perhimpunan juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, jika mahu mengadakan sebarang perhimpunan.

Katanya, polis sentiasa berada dalam tahap bersedia dan keadaan terbaik untuk menghadapi sebarang situasi yang memerlukan kawalan keselamatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment