My Add

Monday 13 August 2012

Permaisuri Agong sampai sumbangan raya di Padang Terap

KUALA NERANG, ISNIN, 13 Ogos, 2012: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan dan kurniaan sempena sambutan Aidilfitri kepada 152 anak yatim di daerah Padang Terap.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong menyampaikan sumbangan wang tunai serta hamper makanan kepada semua anak yatim yang terpilih dari seluruh daerah itu. 

Terdahulu, Tuanku Hajah Haminah bertitah, kerajaan Kedah mengenal pasti sebidang tanah untuk dijadikan tapak Kompleks Anak-anak Yatim Sultanah Haminah.

"Kompleks itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur yang lengkap termasuk asrama, kelas untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dewan serba guna, kemudahan bersukan dan sebagainya bagi menempatkan anak-anak yatim secara lebih tersusun dan teratur.

"Beta berharap pembinaan kompleks terbabit dapat dilaksanakan dengan seberapa segera bagi memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak yatim di negeri ini," titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan itu di Kolej Mara Kuala Nerang di sini.

Baginda bertitah apa yang dilaksanakan itu adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan kerana agama Islam meletakkan tanggungjawab itu kepada semua umatnya yang berkemampuan untuk melakukan amal kebajikan kepada anggota masyarakat.

"Pihak yang lemah dan kurang bernasib baik wajib dibantu agar mereka dapat merasai kehidupan yang sempurna seperti insan lain. Begitu besar pahalanya di sisi Islam untuk kita sama-sama menjaga dan mengambil berat kebajikan anak-anak yatim," titah baginda.
 
Raja Permaisuri Agong turut berpesan kepada anak yatim supaya belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan membuktikan anak yatim juga mampu memperoleh keputusan yang cemerlang seperti anak yang masih beribu bapa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment