My Add

Sunday 12 August 2012

Permaisuri Agong sampai sumbangan kepada 200 anak yatim

YAN, SABTU, 11 Ogos, 2012: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada 200 anak yatim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di daerah Yan, di sini.

Bantuan dan sumbangan daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) itu berupa duit raya, beg sekolah, hamper dan kurma yang dibawa khas dari Istana Negara, Kuala Lumpur.

Terdahulu ketika menyampaikan titah ucapan, baginda menasihatkan anak yatim supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

"Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha mengubah nasib sendiri," titah baginda pada majlis penyampaian sumbangan itu, di Dewan Datuk Madi, di sini.

Baginda turut memesan bahawa ketiadaan ibu bapa, bukan penghalang untuk mereka mengecap kejayaan sambil berharap sumbangan itu dapat meringankan beban perbelanjaan sempena hari raya kali ini.

Mengenai YAYSH, baginda bertitah badan itu sudah banyak melaksanakan aktiviti dalam membantu anak yatim dan golongan miskin meskipun baru ditubuhkan, setahun lalu.

"Yayasan berjaya menganjurkan sambutan ulang tahun pertama yang menjana wang, selain kemurahan hati ramai penyumbang sehingga banyak aktiviti kebajikan dapat dilaksanakan untuk membela nasib insan kurang bernasib baik," titah baginda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment