My Add

Wednesday 15 August 2012

Perniaga didenda RM800,000 guna AP palsu import kereta

SHAH ALAM, RABU, 15 0gos, 2012: Seorang ahli perniagaan didenda RM800,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan menggunakan borang Permit Import (AP) palsu bagi mengimport lapan kenderaan mewah.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati Mohd Zullaimy Muhammad, 45, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Slamat turut memerintahkannya dipenjara 96 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Mahkamah juga menolak permohonan Mohd Zullaimy untuk penangguhan pembayaran denda sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dengan bersubahat dengan seorang pengurus syarikat bagi memindahkan lapan kenderaan iaitu dua buah Toyota Estima, tiga Toyota Harrier, sebuah Mercedez Benz, sebuah BMW Mini Cooper dan sebuah Toyota MR-S di Unit Taksiran Kenderaan Import Bersetempat, Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Klang, antara 7 Dis 2005 dan 13 Jan 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 133 (1)(C) Akta Kastam 1967 dan dibaca bersama Seksyen 139 Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Slamat menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau 12 bulan penjara ke atas Mohd Zullaimy bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, peguam R.Ravendren yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya adalah pesalah pertama dan menghidap kanser buah dada.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh serius.

"Perbuatan tertuduh boleh menjejaskan industri tempatan dan ekonomi negara. Mohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Aimie Yusreena Yunus.

Seramai 26 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu yang bermula pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment