My Add

Monday 13 August 2012

PM akan balas `Tweets' bertuah program `Merdeka Tweets'

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Ogos, 2012: Sekurang-kurangnya tiga rakyat Malaysia yang bertuah akan berpeluang mendapat respons secara terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman sosial 'Twitter', melalui program 'Merdeka Tweets' yang julung kalinya diperkenalkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kira-kira sejuta 'tweets' disasarkan sebaik program itu dilancarkan pada 30 Ogos, jam 8.10 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Perdana Menteri sendiri akan memilih 'tweets' terbaik dan membalasnya.

"Ini kami anggap sebagai inovatif dan kita sama-sama tunggu peristiwa ini agar ia sebenarnya dapat mencetuskan isi hati dan denyut nadi perjuangan kita sambut kemerdekaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rais berkata, Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan amanat merdeka pada malam berkenaan di stadium itu di samping turut bersama-sama rakyat meraikan ambang kemerdekaan dengan pelbagai program menarik yang disusun untuk diadakan di dalam dan luar stadium.

Antara lain, beliau berkata, anugerah khas akan diberi kepada rakyat Malaysia yang ulung dan mencapai satu tahap yang penting dalam kehidupan dan tamadun manusia pada malam berkenaan.

Rais berkata, pada pagi 31 Ogos di Dataran Merdeka, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan bersama-sama rakyat menyaksikan upacara perarakan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Kita akan menyalurkan (dalam program sambutan) apa yang dianggap transformasi kerajaan dalam semua transformasi termasuk NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan jurusan-jurusan pembangunan dan dasar yang diumumkan Perdana Menteri," katanya. 

Rais, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan ke-55 berkata, setakat ini perjalanan susun atur sambutan Hari Kemerdekaan berjalan lancar dan beliau menyasarkan tidak kurang 100,000 orang hadir di kedua-dua venue sambutan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment