My Add

Sunday 12 August 2012

PR perjelaskan maksud 'Sebangsa'


*ANWAR Ibrahim bersama pemimpin PR menunjukkan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan PR selepas mengadakan mesyuarat minggu lalu.

SHAH ALAM, AHAD, 12 Ogos, 2012:  Maksud 'Sebangsa' dalam tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat (PR) ialah satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bersama meraikan hari ulang tahun kemerdekaan negara pada setiap 31 Ogos.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menjelaskan demikian berkata, tema itu dipilih selepas Kerajaan Pusat enggan mengubah tema ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ yang didakwa pembangkang sebagai berunsur politik kepartian Barisan Nasional (BN).

“Pemilihan perkataan itu berdasarkan sambutan kemerdekaan yang disambut di negara ini terdiri kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain tidak mengira perbezaan fahaman atau agama.

“Bangsa Malaysia bermaksud penyatuan kesemua kaum seperti diuaruarkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Wawasan 2020,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mahu pembangkang beri maksud sebangsa dalam tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu pula mentakrifkan maksud 'Sebangsa' dalam tema itu sebagai rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai rumpun dan ras bersama menikmati kemakmuran Malaysia.

“Kami mahu rakyat bergabung tenaga untuk menyambut Hari Kebangsaan kita pada setiap tahun tanpa mengira agama, kaum dan bahasa," katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment