My Add

Saturday 11 August 2012

PRU13: Najib yakin pertahan Sabah


KIMANIS, SABTU, 11 Ogos, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal setia pada perjuangan parti dan tidak terlalu mengejar jawatan demi pembangunan negara.

Beliau berkata, pemimpin yang ikhlas dan setia harus menjadi pilihan rakyat sepertimana di bawah prinsip dalam agama Islam dan sunnah Rasulullah.

"Rasulullah sudah bagi landasan nak pilih atau lantik seseorang, jangan gila jawatan... jangan duk beria sangat.. .kalau mahu sesuatu pun, tidak boleh ikut hawa nafsu dan perasaan," katanya.

Katanya beliau masih ingat pesanan allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein yang masih relevan iaitu: "Kalau hendak jadi seorang pemimpin dan nak kepimpinan diberkati Allah, disenangi dan diterima rakyat, kita mesti seorang pemimpin jujur dan ikhlas".

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di SMK Bongawan II, kira-kira 85 kilometer dari bandar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Lebih 10,000 penduduk pelbagai kaum memeriahkan majlis yang turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno yakin dan percaya hanya 'parti penyelamat' Umno dan BN mampu menjadi badan yang dapat menyerlahkan lagi potensi Sabah untuk terus maju.

Beliau turut melahirkan keyakinan BN negeri melalui barisan kepimpinannya yang hebat tidak akan goyang meskipun 'sedikit berkocak' dengan segelintir pemimpin yang bertukar haluan.

"Biasalah kalau air di dalam cawan berkocak sedikit... kalau ada goyang sedikit pun seronok juga tetapi saya yakin kita tetap dapat pertahankan Sabah dengan kepimpinan dari Musa dan barisan rakan-rakannya," katanya.

Katanya keikhlasan adalah penting dalam perjuangan membela nasib rakyat dan tidak sepatutnya menjadikan parti sebagai batu loncatan dan perlu sentiasa menyokong dasar-dasar perjuangan parti yang berjaya memakmurkan negara dari Semenanjung sehingga ke Sabah.

"Kalau ikut sejarah Umno, sesuatu parti akan terus kekal memimpin dengan mempunyai pemimpin yang sentiasa jujur, ikhlas dan kuat berdiri di belakang parti. Kita lihat sahaja Datuk Onn Jaafar bila keluar parti, tiada sokongan tetapi kemudiannya anaknya (Tun Hussein Onn) yang dalam Umno dapat jadi perdana menteri," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meluluskan pembinaan masjid baharu daerah Kimanis dan menurutnya kerajaan juga akan mengkaji pelebaran jalan raya dari Kota Kinabalu ke Sindumin pada tahun depan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan
mualaf.

Sementara itu, Menteri Luar China Yang Jiechi turut melakukan kunjungan hormat ke atas Najib di sekolah itu sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment