My Add

Monday 6 August 2012

Pusat tidak pernah nafikan hak rakyat Kelantan - PM

BACHOK, AHAD, 05 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak pernah menafikan hak rakyat Kelantan termasuk dalam soal pembayaran bayaran tunai petroleum.

Menurut Perdana Menteri, berpegang pada prinsip adil untuk rakyat Malaysia sebagaimana diperintahkan oleh Allah, maka beliau telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan secara adil, telus dan saksama isu bayaran petrolum kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, apa yang dikesalkan sikap parti pembangkang terus mempolitikkan isu tersebut dengan melemparkan pelbagai tuduhan kononnya Kerajaan Pusat mengkhianati dan menipu rakyat Kelantan.

"Kita berlaku adil kepada rakyat Malaysia kerana ini perintah Allah, kita takut pada Allah, kita tak takut pada yang lain. Begitu juga dalam mengagihkan kekayaan negara kita agih secara adil.

"Sebab itu bila timbul isu royalti, isu ini tidak dapat diselesaikan kerana masih lagi dibangkit-bangkitkan, yang menjadi sasaran Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Awang Adek (Datuk Dr. Awang Adek Hussin). Saya juga menjadi sasaran kononnya kami mengkhianati, menipu rakyat Kelantan.

"Di bumi Kelantan ini, sempena bulan Ramadan kami tidak menafikan hak rakyat Kelantan sama sekali. Kita nak berlaku adil, tulus, nak buka buku baru kepada rakyat Kelantan bahawa Kerajaan Pusat tak menafikan hak walau satu tong minyak pun hak Kelantan," katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Kebajikan Masyarakat yang dihadiri lebih 20,000 orang di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Perdana di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment