My Add

Monday 20 August 2012

Rakyat Malaysia kurang prihatin mengibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Meskipun sambutan Hari Kemerdekaan akan berlangsung tidak lama lagi, ramai rakyat Malaysia di ibu negara masih tidak mengibarkan Jalur Gemilang di rumah kediaman dan premis perniagaan mereka.

Tinjauan di kawasan Wangsa Maju, Setapak, Sentul, Dataran Merdeka dan Lebuh Ampang mendapati beberapa kawasan perumahan dan premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang walaupun jalan raya penuh dihiasi dengan bendera kebangsaan itu. Keadaan itu sekali gus menggambarkan sikap tidak prihatin masyarakat terhadap sambutan Hari Kemerdekaan.

Seorang pemandu teksi, K Kalyanasundaram yang memandu teksi selama 26 tahun, berkata sikap orang ramai yang hanya mengharapkan pemberian percuma Jalur Gemilang amat dikesali kerana perbuatan itu tidak mempunyai semangat patriotik dan mereka kurang menghayati erti kemerdekaan.

"Sebagai tanda cinta kepada negara, rakyat perlu mengambil peluang untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menghargai kemerdekaan yang dinikmati selama ini," katanya.

Seorang suri rumah, Hasniah Ibrahim pula berkata, semangat patriotism dalam generasi muda amat penting memandangkan mereka adalah golongan pelapis yang bakal mewarnai masa depan pembangunan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.

"Kita sebagai rakyat Malaysia harus mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah mahupun premis perniagaan sebagai tanda menghayati kemerdekaan yang kita menikmati sekarang," katanya kepada pemberita semasa ditemui, di Dataran Merdeka.

Hasniah berkata, inilah masanya bagi rakyat Malaysia untuk mengenang kembali jasa tokoh yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment