My Add

Tuesday 14 August 2012

Rakyat Malaysia patut bersyukur

DR. Mahathir Mohamad (duduk) menyampaikan sumbangan duit raya dan coklat kepada anak yatim sambil ditemani Pengarah Urusan DR Group Holding Sdn. Bhd., Dahlan Rasyid (berdiri, tengah) di Langkawi, semalam.

LANGKAWI, ISNIN, 13 Ogos, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini supaya bersyukur dengan keamanan dan ketenteraman yang membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan tenang dan tanpa kebimbangan.

Beliau berkata, ia jauh berbeza dengan rakyat di sesetengah negara lain yang terpaksa menghadapi perang atau ditimpa pelbagai malapetaka hingga menyukarkan kehidupan.

"Tetapi di Malaysia, kita tidak perlu menghadapi semua itu malah kita selamat dan boleh menganjurkan pelbagai program tanpa perlu rasa ragu-ragu," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan anjuran DR Group Holding Sdn. Bhd. (DR Group) di Masjid Aisyah Sungai Menghulu, di sini semalam.

Pada majlis itu, lebih 150 orang anak-anak yatim dan warga emas dari seluruh Langkawi menerima sumbangan duit raya dan coklat sumbangan DR Group yang disampaikan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Hadir sama, Pengarah Urusan DR Group, Datuk Dahlan Rasyid.

Dr. Mahathir berkata, walaupun rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman damai ketika ini namun jika ia tidak dijaga Malaysia akan menjadi seperti negara bergolak lain iaitu Iraq dan Syria.

"Bibit-bibit perpecahan ini sudah kita lihat di Malaysia. Pendapat satu pihak berbeza dengan pihak yang lain bukan berkaitan agama sebaliknya berkenaan politik.

"Walaupun bukan rusuhan yang dahsyat, tetapi ia tetap akan membinasakan umat Islam jika tidak dibendung kerana permusuhan dan perbezaan inilah yang menyebabkan mereka tidak bersatu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment