My Add

Tuesday 14 August 2012

Ratusan ribu rakyat meriahkan Hari Kemerdekaan ke-55

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Ogos, 2012: Kehadiran ratusan ribu rakyat bakal memeriahkan dua program besar sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Ogos ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan acara perbarisan di Dataran Merdeka pada sebelah pagi.

Menurut beliau, perbarisan berkenaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan puluhan ribu rakyat.

"Pada perbarisan itu, kita akan menyalurkan mesej tentang Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam bentuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan jurusan-jurusan pembangunan serta dasar-dasar yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Kita juga akan tonjolkan penerimaan rakyat terhadap kejayaan yang dicapai termasuk pembangunan luar bandar, kempen cegah jenayah dan memerangi rasuah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perayaan Kemerdekaan ke-55 Janji Ditepati di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Rais menambah, program Himpunan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati pula akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam 31 Ogos.

Jelas beliau, pada program itu, Najib akan mengetuai acara Jalan Kaki Rakyat di dalam stadium sebelum berucap menyampaikan amanat sempena Hari Kemerdekaan ke-55 di atas pentas yang berpusing secara perlahan di hadapan lebih 110,000 orang.

"Orang ramai yang hadir pada perhimpunan itu diminta agar tidak menggunakan trompet, seruling atau alat-alat muzik lain bagi memberi tumpuan kepada ucapan Perdana Menteri.

"Pada malam itu, turut berlangsung acara penyampaian anugerah khas kepada rakyat Malaysia yang ulung dan telah mencapai kejayaan penting dalam kehidupan. Setakat ini, kita belum boleh mendedahkan identiti penerima anugerah tersebut," ujarnya.

Rais memberitahu, Twitter Merdeka turut dilancarkan pada pukul 8.10 malam, 31 Ogos ini iaitu Najib akan menjawab sekurang-kurangnya tiga 'tweet' yang menarik dan memberi kesan kepada perjuangan kemerdekaan.

Dalam pada itu, kata beliau, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan akan dilangsungkan di Bintulu, Sarawak pada 16 September ini.

Jelasnya, program itu bakal mencerminkan perpaduan dan semangat kekitaan rakyat pelbagai kaum di Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment