My Add

Wednesday 15 August 2012

Rayuan habeas corpus rakyat Afghanistan ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, RABU,15 Ogos, 2012: Seorang rakyat Afghanistan diperintah diekstradisi ke Australia bagi menghadapi 25 tuduhan jenayah pemerdagangan manusia selepas rayuan habeas corpusnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Said Mir Bahrami, 42, dikehendaki oleh pihak berkuasa Imigresen Australia atas dakwaan terlibat dalam menganjur dan menyediakan kemudahan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara itu.

Dia yang mendapat status pelarian dari negara tersebut ditahan oleh sepasukan polis pukul 11.10 pagi, 5 Ogos tahun lalu di Hotel Berjaya Times Square di ibu negara.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif menolak rayuan lelaki tersebut selepas berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perintah ekstradisi itu dikeluarkan mengikut undang-undang.

Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.

Said Mir diwakili oleh peguam Karpal Singh manakala Kerajaan Malaysia diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment