My Add

Sunday 12 August 2012

RTC ditambah seimbangkan pembangunan - TPM

PAGOH, SABTU, 11 Ogos, 2012: Kerajaan akan menambah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara bagi memajukan kawasan luar bandar sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi dan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan serta taraf hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan lebih banyak RTC akan merapatkan jurang selain memberi keseimbangan antara pembangunan di bandar dan luar bandar.

"RTC bertujuan memberi segala bentuk bantuan dan sokongan untuk membolehkan masyarakat luar bandar dimajukan, baik dalam usaha-usaha melibatkan peningkatan kemahiran atau apa bidang sekali pun. Pusat itu akan diwujudkan lagi di seluruh negara dalam tempoh tahun-tahun akan datang.

"Ini perlu kita lakukan supaya pembangunan di negara kita lebih seimbang, tidak dikatakan nanti yang sedia maju di bandar terus maju tetapi kawasan-kawasan luar bandar ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis khatam al-Quran, penyerahan bantuan raya dan majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin.

Muhyiddin berkata, selain RTC antara usaha yang dilakukan kerajaan untuk mewujudkan era baru pembangunan kawasan luar bandar ialah melalui bidang pertanian kerana ia masih lagi merupakan sektor terpenting bagi masyarakat desa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment