My Add

Sunday 19 August 2012

Rumah terbuka Aidilfitri gambarkan perpaduan - Raja Nazrin

IPOH, SABTU, 18 Ogos, 2012: Persaudaraan dan perpaduan di negara ini dapat digambarkan melalui kesediaan umat Islam mengadakan rumah terbuka untuk meraikan kunjungan tetamu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, titah pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Baginda bertitah, melalui majlis rumah terbuka, perpaduan bukan sahaja dijalin antara umat Islam malah lebih istimewa lagi apabila perayaan itu turut disambut oleh bangsa lain apabila mereka berkunjung ke rumah umat Islam.

"Terjalin ikatan silaturrahim secara "natural" antara warga yang berlatar belakang pelbagai agama, kaum dan budaya di negara ini," titah baginda dalam perutusan Aidilfitri di sini semalam.

Baginda bertitah, hubungan sedemikian dapat meningkatkan fahaman terhadap kesucian Islam serta pantang larang dalam agama Islam yang perlu dihormati.

Persefahaman antara pelbagai kaum dan agama serta menghormati amalan serta pantang larang agama lain adalah penting untuk menjamin kelangsungan masyarakat yang harmoni dan negara yang aman, titah baginda.

Pelihara hubungan harmoni di kalangan rakyat

Baginda bertitah, setiap rakyat di negara ini terutamanya umat Islam perlu sentiasa bersyukur nikmat keamanan yang dikecapi dengan terus memelihara hubungan harmoni di antara kaum.

Menurutnya, apa yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini amat berbeza dengan kehidupan rakyat di sesetengah negara lain yang kerap diancam keganasan dan kekacauan politik.

Memberi contoh apa yang berlaku di Palestin, baginda bertitah, rakyat di Malaysia wajar mengambil situasi penderitaan yang terus dialami rakyat di negara itu sebagai perbandingan untuk dijadikan iktibar dan peringatan.

“Di negara ini, Syawal disambut dengan mengadakan rumah terbuka. Ini adalah satu keistimewaan dan satu keunikan. Sifat terbuka dan persaudaraan umat Islam dicerminkan dengan kesediaan mereka membuka pintu rumah masing-masing bagi meraikan kunjungan tetamu dari kalangan bukan Islam, titahnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment