My Add

Wednesday 15 August 2012

SABK lahirkan profesional

Oleh lUQMAN HAZIQ dan NOR AZAN FITRI
JOHOR BAHRU, SELASA, 14 Ogos, 2012: Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mampu melahirkan lebih ramai golongan profesional agama yang boleh dijadikan sumber rujukan termasuk di peringkat global pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bertepatan dengan matlamat pembangunan modal insan negara yang mahu melihat lebih ramai golongan profesional agama seperti ulama-ulama hebat terdahulu dilahirkan.

"Saya yakin usaha murni ini mampu melahirkan tokoh-tokoh agama yang boleh menjadi sumber rujukan, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat global pada masa akan datang," katanya semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah Agama Negeri Johor sebagai SABK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut. Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawil.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan menggalakkan proses pembangunan modal insan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, sekolah-sekolah agama semakin menjadi tumpuan masyarakat untuk menghantar anak mereka bagi mendapatkan pendidikan agama sehingga menjadikan sekolah berkenaan tidak mampu menampung permintaan yang semakin bertambah.

"Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan kehendak rakyat, maka adalah wajar sekiranya sekolah-sekolah itu diberikan bantuan yang bersesuaian agar dapat berkembang seiring dengan keperluan dan kehendak rakyat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru-guru SABK juga akan diberikan latihan yang bersesuaian, mendapat gaji kompetitif, layak menerima kemudahan seperti kenaikan pangkat, pencen, pinjaman perumahan di samping pelbagai kemudahan lain.

"Kemasukan 25 sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, akan membolehkan seramai 684 guru dan 116 kakitangan sokongan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment